Friday, 8 May 2009

Permasalahan Qasar Solat dan Hukum Yang sahih Padanya


Solat qasar ialah mendirikan solat-solat fardhu yang asalnya 4 raka'at secara 2 raka'at apabila sahaja seseorang itu berada dalam suasana perjalanan atau musafir. Solat-solat Zohor, Asar dan Isyak didirikan secara 2 raka'at manakala solat Subuh dan Maghrib tetap didirikan secara 2 dan 3 raka'at masing-masing.


Dalil mensyari'atkan Solat Qasar



[1] - Firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. [Maksud surah an-Nisaa' 04 - 101].



[2] - Ya'laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah - "maka kamu tidaklah berdosa meng-qasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir"; sedangkan pada masa sekarang manusia telahpun berada dalam keadaan aman.



Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang hal ini lalu beliau bersabda: Itu adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza waJalla kepada kalian maka terimalah sedekah-Nya itu.[1]


Dari ayat al-Qur'an dan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam di atas, para ilmuan menetapkan bahawa solat boleh di qasar apabila sahaja seseorang itu berada dalam perjalanan yang keluar dari tempat asalnya sehinggalah dia kembali semula ke tempat asalnya itu. Dua dalil di atas jelas mensyari'atkan kebolehan meng-qasar solat apabila seseorang itu berada dalam perjalanan tanpa sebarang syarat atau kondisi tambahan.[2]


[3] - Anas bin Malik radiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah musafir bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dari Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu beliau melakukan solat secara dua raka'at (qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah. Orang bertanya: Apakah kalian sempat menginap di Kota Mekah? Anas menjawab: Kami menginap di Kota Mekah selama 10 hari.[3]



[4] - Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan: Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bermukim di Tabuk selama 20 hari (dan beliau) mengqasarkan solat.[4]


Dalil-dalil ketiga dan empat menerangkan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam melaksanakan solat-solatnya secara qasar tanpa mengira bilangan hari dia berada dalam perjalanan atau duduk di destinasinya. Hadith ketiga ialah musafir kerana ibadah haji, hadith keempat ialah musafir kerana perang. Dua suasana berlainan ini menunjukkan bahawa tiada perbezaan antara qasar kerana perang atau selain dari perang.


[5] - Umar al-Khattab radiallahu-anhu menerangkan: Solat musafir itu dua raka'at (kecuali Maghrib), solat Juma'at itu dua raka'at dan solat Id (solat Hari Raya) itu dua raka'at. Ini semua adalah solat sempurna dan bukan qasar, demikian menurut lisan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.[5]


Hadith ini menerangkan bahawa solat-solat yang didirikan secara qasar adalah dikira dan dipandang sebagai solat yang sempurna di sisi Islam sebagaimana juga solat Juma'at, solat Aidil Fitri dan Aidil Adha. Dinyatakan ia sebagai solat sempurna (taman) dan bukan qasar kerana perkataan qasar menurut kaedah bahasa adalah kurang atau ringkas. Oleh itu mendirikan solat secara qasar ketika musafir adalah tetap dipandang sempurna dan ia bukanlah sesuatu yang mengurangi pahala atau kebaikan.


[6] - Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma menerangkan: Aku pernah solat bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam musafir dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali Maghrib), dan aku pernah bersama Abu Bakar radiallahu-anhu dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali Maghrib) dan aku pernah bersama Umar al-Khattab radiallahu-anhu dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali Maghrib).
[6]


Hadith ini menerangkan bahawa solat Zohor, Asar dan Isyak secara qasar adalah sunnah yang dipraktikkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan khalifah-khalifah beliau seperti Abu Bakar dan Umar radiallahu-anhuma. Dalam riwayat lain Uthman ibnu Affan juga turut mengqasarkan solat-solatnya apabila musafir kecuali beberapa tahun di akhir hayatnya apabila dia telah berkahwin dengan seseorang di Mina lalu menetap di sana dan tidak lagi mengqasarkan solat.


Syarat-syarat Solat Qasar


Syarat bagi melakukan solat secara qasar hanya satu, iaitu apabila sahaja seseorang itu melakukan perjalanan yang di luar dari batas kebiasaannya. Inilah juga yang didefinasikan sebagai Musafir. Dalilnya ialah hadith yang diriwayatkan dari Imran bin Husain radiallahu-anhu di mana beliau menerangkan:


Aku pernah bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, juga aku pernah menyaksikan 'Fath-ul-Mekah'. Beliau menginap di Mekah selama 18 malam hanya dengan melakukan solat secara dua raka'at (qasar). Beliau bersabda: "Wahai penduduk negeri (Mekah)! Solatlah 4 raka'at kerana kami orang musafir."[7]


Dari hadith ini dapat diperhatikan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membezakan antara orang-orang yang sememangnya penduduk Kota Mekah dengan orang-orang yang dari luar Kota Mekah, iaitu diri beliau beserta rombongannya yang dikategorikan sebagai orang musafir. Penduduk Mekah hendaklah melaksanakan solat secara biasa iaitu 4 raka'at manakala yang musafir ke Kota Mekah pula 2 raka'at iaitu solat qasar. Oleh itu jelas bahawa solat qasar hanya dibolehkan bagi orang yang sedang dalam perjalanan atau musafir, bukan bagi orang yang berada di perkampungan asalnya.

Walaupun syarat bagi solat qasar ini hanya satu, iaitu musafir namun kondisi musafir itu mempunyai beberapa syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu. Syaratnya ada tiga iaitu [1]-jarak perjalanan, [2]-tempoh perjalanan dan [3]-jenis perjalanan. Berikut dihuraikan satu persatu akan syarat-syarat ini –


[Pertama] - Jarak perjalanan


Apabila seseorang itu membuat satu perjalanan yang melebihi dari batas atau lingkungan kebiasaannya maka adalah perjalanan itu dikira sebagai musafir dan dengan itu dia dibolehkan mengqasarkan solatnya. Tidak ada jarak minimum atau batas tertentu yang tetap bagi hal ini. Al-Qur'anul Karim apabila ia mensyari'atkan solat secara qasar hanya menyatakan suasana berpergian yakni musafir tanpa meletakkan apa-apa syarat tambahan. Diulangi firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…… Demikian juga Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak pernah meletakkan had batasan dalam hal ini.[8]

Akan tetapi yang pasti adalah apabila sahaja Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bertolak ke luar dari Kota Madinah beliau sentiasa mengqasarkan solat-solatnya tidak kira dalam perjalanan jauh mahupun dekat. Imam Ibnu Mundzir berkata: Sungguh saya tidak mengetahui bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada mengqasarkan solat dalam satu perjalanan kecuali setelah keluar dari Madinah.[9] Sebaliknya apabila beliau berjalan-jalan di dalam Kota Madinah samada kerana hal pentadbiran atau sekadar melawat sahabat beliau tidak mengqasarkan solat-solatnya. Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma menerangkan: Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam ketika keluar dari Kota Madinah, beliau tidak menambah raka'at solat-solatnya melebihi 2 raka'at (kecuali Maghrib) sehinggalah beliau kembali semula ke Kota Madinah.[10]

Berpijak dari sunnah baginda ini, seseorang itu apabila dia berada di kampung atau pekan atau bandar asalnya maka dia tidak boleh mengqasar solat-solatnya manakala apabila sahaja dia keluar dari batasan kampung atau pekan atau bandar asalnya menuju ke satu perjalanan maka dia boleh mengqasarkan solat-solatnya. Setiap orang mempunyai jarak kebolehan mengqasar yang berbeza selari dengan tempat dan keadaan tempat tinggalnya.

Bagi seseorang yang tinggal di pendalaman dan perjalanan biasanya ialah sekadar berulang-alik dari rumah ke kebun sayur atau pekan berhampiran maka itulah yang dikira sebagai tempat perjalanan kebiasaannya yang tidak membolehkan dia mengqasarkan solat. Akan tetapi apabila dia melakukan suatu perjalanan yang di luar kebiasaannya itu, umpama pergi ke bandar berhampiran maka itu dikategorikan sebagai musafir bagi dirinya sekalipun bandar tersebut hanya 10 atau 15 km dari rumahnya. Dalam perjalanan itu dia boleh mengqasarkan solatnya.

Berbeza pula dengan seorang yang hidup di bandar yang mempunyai berbagai kemudahan pengangkutan maka dia tidak boleh mengqasar solatnya selagi dia berada di dalam bandar tersebut. Tetapi apabila dia berpergian ke satu tempat yang di luar sempadan bandar tersebut maka dia boleh mengqasar solatnya. Sebagai contoh orang yang tinggal di Lembah Klang (Kuala Lumpur + Petaling Jaya + Shah Alam) tidak boleh mengqasar solatnya apabila berulang alik di sekitar kawasan ini. Tetapi apabila dia pergi ke KLIA (Sepang) yang jaraknya kira-kira 50 km untuk tujuan tertentu maka dia boleh mengqasarkan solatnya. Lain pula bagi orang yang tinggal di Lembah Klang tetapi bekerja di KLIA, dia tidak boleh qasar solat di KLIA kerana ia termasuk lokasi perjalanan yang biasa bagi dirinya. Apabila dia pergi ke Bandar Nilai untuk sesuatu tujuan maka dia boleh mengqasarkan solatnya.

Oleh itu sekali lagi dinyatakan bahawa apabila seseorang itu membuat satu perjalanan yang melebihi dari batas atau lingkungan kebiasaannya maka perjalanan itu dikira sebagai musafir dan dengan itu dia dibolehkan mengqasar solat-solatnya. Batas kebiasaan adalah relatif kepada setiap individu selari dengan keadaan, lokasi dan corak kehidupannya. Apabila terdapat keraguan samada perjanan itu dikira kebiasaan atau tidak maka pilihan terbaik ialah tidak mengqasarkan solat.


[Kedua] - Tempoh Perjalanan[11]


Apabila sahaja seseorang itu bermusafir keluar dari kawasan kebiasaannya maka adalah ia tetap dikira sebagai musafir tidak kira berapa lama tempohnya. Ini berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang sentiasa mengqasarkan solatnya apabila berada dalam perjalanan tidak kira berapa lama perjalanan tersebut, samada 1 atau 2 atau 3 atau 10 atau 15 atau 20 hari. Rujuklah kembali hadith-hadith yang diutarakan di awal bab ini. Malah di dalam satu ekspedisi Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersama rombongannya bermukim di Ram al-Harmuz dengan mengqasarkan solat selama sembilan bulan lamanya.[12] Dalam setiap perjalanan beliau tetap mengqasarkan solat-solatnya tanpa menerangkan apa-apa syarat atau kondisi mengenainya.

Sekalipun seseorang itu singgah di satu tempat dan bermukim di sana selama sekian-sekian hari dia tetap dikira sebagai seorang musafir dan dibolehkan mengqasar solatnya. Hanya apabila seseorang itu berniat untuk bermastautin di tempat persinggahannya maka dia tidak lagi dikira sebagai seorang musafir dan tidak lagi dibolehkan mengqasar solatnya.Beza antara mukim dan mastautin ialah - mukim adalah bagi orang yang bermusafir lalu ia berhenti di destinasinya dan duduk di sana untuk sekian-sekian masa tertentu tetapi dia tetap sedar dan tahu bahawa dia akan kembali semula ke tempat asal apabila urusannya selesai (mukim ghairu mastautin). Mastautin pula ialah orang yang bermusafir lalu tiba di destinasinya dan duduk tetap di sana dengan kesedaran niat bahawa dia akan tinggal di sana untuk keadaan tetap (menetap) dan tidak akan kembali lagi (mukim mastautin).[13]

[Ketiga] - Jenis musafir


Secara umumnya apabila membicarakan perihal bab musafir, para fuqaha membahagikannya kepada dua kategori, musafir yang selari dengan Islam dan musafir yang bertentangan dengan Islam. Musafir yang bertentangan dengan Islam ialah segala perjalanan yang diusahakan atas tujuan maksiat, kemungkaran dan kekejian seperti musafir untuk mencuri, berjudi, ke rumah pelacuran dan yang seumpama. Jumhur ulama' tidak membenarkan orang yang membuat perjalanan sebegini dari menerima dan mengamalkan kemudahan-kemudahan hukum Islam kerana tidak mungkin Islam memberikan kemudahan kepada umatnya untuk melakukan kemaksiatan terhadap ajarannya. Manakala segolongan lain membolehkan kemudahan hukum tetap diamalkan seperti mengqasar solat kerana antara ibadah dan maksiat adalah dua hal yang berbeza dan setiapnya akan dihitung baik-buruknya secara berasingan nanti oleh Allah Azza waJalla.


Beberapa Catatan Tambahan



1 - Kemudahan hukum semasa dalam perjalanan diberikan oleh Allah Subhanahu waTa'ala kepada hamba-hambaNya sebagai tanda Rahmat dan Kasih kepada mereka. Allah tidak meletakkan sebarang syarat tambahan seperti faktor kesukaran ataupun jenis kenderaan ataupun apa-apa lain. Asal sahaja seseorang berada dalam perjalanan maka dia boleh mengqasar solatnya. Dalam rumusannya terhadap perbincangan hukum-hukum solat qasar, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie menerangkan:


Mengenai musafir, Allah Subhanahu waTa'ala menerangkannya dengan kaedah syara' yang umum. Allah sedia mengetahui bahawa alat-alat pengangkutan atau kenderaan akan berlain-lainan mengikut perkembangan masa dari unta, keldai, kuda hinggalah ke kereta motor, kapal laut dan kapal terbang. Allah tidak mengaitkan hukum-hukum musafir dengan sesuatu macam medium kenderaan dan demikian juga Allah tidak mengaitkannya dengan sesuatu jenis musafir dan demikian juga Allah tidak mengaitkannya dengan jenis musafir yang menghasilkan kesukaran. Maka oleh kerana itu apabila kita bermusafir baik berjalan kaki atau menaiki kuda atau menaiki kereta motor atau menaiki kapal terbang, maka kita dikehendaki menjalani dan melaksanakan hukum-hukum musafir.[14]


2 - Seseorang yang kebiasaannya melibatkan perjalanan yang jauh dari tempat mastautinnya yang asal juga dikategorikan sebagai seorang musafir asalkan perjalanannya itu adalah rambang dan tidak tetap ke satu destinasi sahaja. Oleh itu para pemandu bas ekspres, pemandu lori jarak jauh, kelasi kapal laut, juruterbang, pramugara/pramugari yang tidak mempunyai destinasi musafir yang tetap dibolehkan mengqasar solat-solat mereka.[15] Akan tetapi bagi seseorang yang selalu mempunyai destinasi yang tetap seperti seorang yang mastautin di Seremban lalu berulang-alik ke Kuala Lumpur (kerana kerja atau sebagainya) maka dia tidak dikira sebagai orang musafir kerana perjalanan ulang-alik itu termasuk dalam batas sempadan kebiasaannya.



3 - Seseorang yang menjadikan kenderaannya sebagai rumah yang tetap seperti seorang kelasi kapal yang memandu kapalnya dan tidak mempunyai rumah selain kapalnya itu sahaja, yang mana kapal itulah yang menjadi tempat tinggal keluarganya lagi dilengkapi dapur serta segala keperluan rumah maka dia tidak boleh mengqasarkan solat-solatnya sekalipun dalam pelayaran. Demikian menurut Imam Ahmad bin Hanbal.[16]



4 - Apabila memulai atau mengakhiri perjalanan yang menepati syarat-syarat musafir, seseorang itu dibolehkan mengqasarkan solat-solatnya apabila sahaja berada di luar batas sempadan kampung/pekan/bandar tempat tinggalnya yang asal. Semata-mata berniat untuk musafir tidak membolehkan seseorang itu mengqasar solatnya apabila masih berada di dalam sempadan tempat asalnya. Demikian juga seseorang yang kembali dari musafirnya tidak dibolehkan qasar solat apabila telah memasuki sempadan tempat asalnya. Ini adalah kerana qasar itu adalah kemudahan hukum bagi suasana musafir dan seseorang itu perlu benar-benar berada dalam kondisi musafir sebelum boleh mempraktikkan kemudahan ini. Demikian adalah hujah yang disepakati jumhur.[17]



5 - Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam semasa musafir ialah sentiasa mendirikan solat-solat Zohor, Asar dan Isyaknya secara qasar 2 raka'at dan perbuatan ini diteladani oleh para Khalifah dan para sahabat beliau sepenuhnya sepanjang hidup mereka, sebagaimana hadith-hadith yang telah dikemukakan di awal bab ini. Malah di kalangan para fuqaha ada yang berpendapat solat secara qasar ketika musafir adalah wajib berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang sentiasa tetap mendirikan solat-solatnya secara qasar apabila sahaja berada dalam perjalanan.[18] Oleh itu adalah menjadi pilihan yang sebaiknya juga bagi kita umat Muhammad akhir zaman untuk turut mengikuti sunnah beliau yang mulia ini iaitu tetap dan berterusan mengqasarkan solat apabila berada dalam suasana musafir.


Terdapat sebuah riwayat dari A'isyah radiallahu-anha yang menerangkan: Bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam kadang-kala mengqasarkan solat dan kadang-kala tidak (iaitu solat 4 raka'at); dan kadang-kala berbuka dan kadang-kala berpuasa apabila dalam perjalanan. Ketahuilah bahawa riwayat ini adalah daif dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah teladan agama.[19]


6 - Seseorang yang musafir boleh solat berimamkan seorang yang solat penuh dengan syarat dia juga mendirikan solatnya secara penuh. Contohnya jikalau seseorang yang sedang dalam perjalanan yang membolehkan dia mengqasar solat lalu di satu tempat dia menjumpai barisan jamaah penduduk di situ yang bersolat dengan imam mereka secara penuh maka dia tetap dianjurkan solat berjamaah bersama kumpulan itu secara penuh juga. Ini sebagaimana hadith berikut: Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu telah ditanya orang: Bagaimanakah keadaan seorang musafir yang bersolat qasar 2 raka'at apabila bersendirian lalu bersolat penuh 4 raka'at apabila mengikuti jamaah orang yang bermukim? Ibnu Abbas menjawab: Itu adalah sunnah. (yakni cara yang betul-P).[20]


Sebaliknya dibolehkan juga orang yang bermastautin berimamkan jamaah musafir yang mendirikan solat mereka secara qasar dengan syarat apabila jamaah tersebut selesai solat mereka yang dua raka'at itu, jamaah mastautin bangun dan meneruskan lagi dua raka'at mencukupkannya kepada 4 raka'at. Ini pernah dilakukan sendiri oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila beliau dan rombongannya berada di Kota Mekah lalu bersolat jamaah secara qasar di sana dan solat mereka diikuti juga oleh para penduduk Kota Mekah. Lalu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam memberitahu para jamaah Kota Mekah bahawa solat mereka adalah tetap juga 4 raka'at sekalipun berimamkan kepada orang yang solat qasar 2 raka'at, dengan sabda beliau: Wahai penduduk negeri (Mekah), Solatlah 4 raka'at kerana kami orang musafir.[21]/[22]


7 - Apabila seseorang itu berada dalam suasana musafir lalu dia mengqasarkan solat-solatnya, kemudian dia menghadapi kesukaran pula untuk menyempurnakan solat-solatnya dalam waktu yang disediakan maka dia boleh menjamakkan solat-solatnya itu secara qasar. Oleh itu dibolehkan menunaikan solat Zohor dan Asar masing-masing secara qasar dan kedua-duanya didirikan dalam satu waktu, samada jamak takdim atau takhir. Walaubagaimanapun perlu diingati bahawa menjamakkan solat mempunyai beberapa syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.



8 - Seseorang yang dalam suasana musafir lalu tertinggal sesuatu solat kerana tertidur atau terlupa sehingga luput waktunya maka dia wajib mendirikan semula solatnya itu secara qadha apabila sedar dan ingat kembali. Solat tersebut tetap dianjurkan secara qasar kerana qasar adalah kaedah solat yang sedia disunnahkan dalam suasana musafir. Akan tetapi apabila dia sedar atau teringat setelah kembali ke tempat mastautinnya yang asal maka ia hendaklah diqadha secara penuh yakni 4 raka'at.[23]



Analisa Pendapat



[Pertama] - Sesetengah pendapat menyatakan bahawa jarak minima bagi membolehkan seseorang itu mengqasarkan solat-solatnya ialah apabila dia menghadiri satu perjalanan yang destinasinya melebih 89km. Pendapat ini didasarkan kepada dua riwayat, iaitu -



[1] - Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam diriwayatkan telah bersabda: Hai penduduk Mekah! Janganlah kamu mengqasarkan solat pada jarak kurang dari 4 barid, iaitu umpama perjalanan dari Mekah ke Usfan. (4 barid = 89 km). [Hadith riwayat Imam ath-Thabarani, ad-Daruquthni dan al-Baihaqi]


Hadith ini sebenarnya berstatus maudhu' / palsu. Dalam isnadnya terdapat seorang perawi bernama Abdul Wahab bin Mujahid bin Jubair. Kata Imam Sufian at-Thauri - dia adalah pendusta. Kata Imam al-Hakim - dia meriwayatkan hadith-hadith yang palsu. Kata Imam Ibnu Jawzi - ijma' ulama' hadith bahawa dia adalah matruk. Kata Imam an-Nawawi - dia adalah pendusta. Berkata Shaikh Nasiiruddin Albani - hadith ini adalah maudhu'.[24]

Oleh itu hadith ini tidak boleh digunakan sebagai dalil kerana kesepakatan para ahli hadith tentang kepalsuannya, sekalipun ia sering digunakan oleh sesetengah pihak samada secara lisan mahupun bertulis bagi menghujahkan pendapat mereka.


[2] - Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu pernah ditanya orang: Apakah boleh saya mengqasar solat untuk pergi ke Arafah? Ibnu Abbas menjawab: Tidak boleh tetapi anda boleh mengqasarnya apabila pergi ke Usfan, Jeddah dan Taif. Tiga destinasi yang disebut ini jaraknya ialah lebih kurang 4 barid / 89 km jauhnya dari Kota Mekah. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Shafie dalam kitabnya Musnad Shafie, 1/429 dan disahihkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, 3/137. Kesahihan ini dipersetujui oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 4/481 dan oleh Imam as-Sha'nani dalam Subul-us-Salam, 2/163 tanpa komentar tambahan.


Walaubagaimanapun riwayat di atas adalah merupakan keterangan sahabat dan bukannya sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Riwayat ini sekalipun sahih namun ia adalah pendapat peribadi Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu. Berdasarkan kaedah Ilmu usul fiqh, menyatakan bahawa pendapat atau fatwa seorang sahabat perlu diperiksa terlebih dahulu samada ia selari dengan dalil-dalil al-Qur'an atau as-Sunnah. Kerana pendapat seorang sahabat tidaklah terlepas dari sebarang kesilapan atau ketidak-tepatan kerana mereka adalah manusia biasa yang secara fitrah tidak akan terlepas dari berbagai kelemahan.[25] Oleh itu sesuatu pendapat seorang sahabat itu perlu dipastikan ia selari dan tidak bertentangan dengan dalil-dalil wahyu iaitu al-Qur'an dan as-Sunnah.


Telahpun dijelaskan di permulaan bahawa di dalam al-Qur'an tidak terdapat sebarang petunjuk akan jarak minima musafir seseorang itu yang membolehkan dia mengqasarkan solat-solatnya. Maka kita beralih pula kepada as-Sunnah - Berapakah jarak perjalanan minima yang pernah dilakukan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam untuk mengqasarkan solat-solatnya? Hadith berikut disalin sebagai hujah penerangan -

Yahya bin Yazid berkata: Saya bertanya kepada Anas bin Malik radiallahu-anhu tentang solat qasar, iaitu saya keluar dari Basrah ke Kufah lalu saya solat 2 raka'at - 2 raka'at sehingga saya kembali. Maka Anas bin Malik berkata: Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam manakala beliau keluar dalam perjalanan sejauh 3 mil atau 3 farsakh, beliau mengqasarkan solatnya. (3 farsakh = 25.92 km). Hadith diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, 2/108, dan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, 2/146, diutarakan sebagai hujah oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath-ul-Bari, 2/467-468 juga oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar 4/480; dan disahihkan oleh Shaikh Nasiiruddin Albani dalam Silsilah Ahadith as-Sahihah, 1/365.

Hadith ini menerangkan bahawa Yahya bin Yazid telah bertanya kepada Anas bin Malik radiallahu-anhu berkenaan perbuatannya yang mengqasarkan solat dalam perjalanan yang dekat, iaitu dari Kota Basrah ke Kufah. Maka Anas membolehkan perbuatan itu dengan mengaitkan kepada perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang pernah mendirikan solat secara qasar dalam perjalanan yang jarak destinasinya ialah 26 km.

Sesetengah pihak cuba menafsir keterangan Anas di atas dengan mengatakan bahawa jarak 26 km hanyalah tempat persinggahan sementara Nabi padahal destinasi beliau yang sebenar adalah lebih jauh dari itu. Tafsiran ini tertolak kerana timbulnya jawapan penerangan dari Anas bin Malik ialah terhadap soalan yang berkaitan dengan jarak destinasi perjalanan dan bukan jarak tempat persinggahan. Justeru itu penerangan Anas bin Malik adalah sebagai menjawab jarak destinasi dan bukan selain dari itu.[26]


Selain hadith di atas kita juga mendapati banyak hadith-hadith masyhur berkenaan ibadah haji Nabi sallallahu-alaihi-wasallam (Haji Wada') di mana beliau bersama rombongannya melaksanakan solat-solat mereka secara qasar semuanya di setiap perhentian manasik haji, iaitu Mina, Arafah, Mudzalifah, dan kembali ke Mina. Dalam rombongan tersebut disertai juga oleh para penduduk Kota Mekah padahal jarak antara Mekah dan Mina hanyalah lebih kurang 8 km manakala keseluruhan perjalanan manasik haji, iaitu dari Mekah ke Mina, ke Arafah, ke Mudzalifah, kembali ke Mina dan berakhir di Mekah hanyalah lebih kurang 30 km. Sekalipun dalam jumlah jarak perjalanan 30 km, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membenarkan para penduduk Kota Mekah melaksanakan solat-solat fardhu mereka secara qasar, iaitu 2 rakaat. Harisah bin Wahab radiallahu-anhu menerangkan: Aku bersolat bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di Mina dalam keadaan aman bersama-sama orang ramai dengan dua raka'at (qasar kecuali Maghrib).[27]


Beberapa penjelasan di atas menunjukkan bahawa dalil dari as-Sunnah memboleh solat diqasar sekalipun dalam perjalanan yang pendek asal sahaja perjalanan tersebut melebihi dari batas atau sempadan kebiasaan tempat mastautin seseorang itu. Walaupun Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat qasar dalam perjalanan yang jarak destinasinya 26 km, ia tidak dijadikan batas mutlak kerana beliau tidak memerintahkan sedemikian. Sunnah beliau yang jelas adalah apabila seseorang itu menjalani musafir yang melebihi batas atau sempadan kebiasaannya maka dia sudah boleh mengqasar solat-solatnyanya. Sempadan ini berbeza dari individu ke individu selari dengan keadaan hidup, medium pengangkutan dan suasana zaman.

Adapun hadith penerangan Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu di atas, kita tidak tahu secara pasti siapakah orang yang bertanya itu dan apakah jalan serta cara hidupnya. Mungkin sahaja boleh ditakwilkan bahawa orang yang bertanya kepada Ibnu Abbas dalam hadith tersebut adalah seorang peniaga yang kebiasaannya beraktiviti di dalam Kota Mekah dan daerah-daerah sekelilingnya. Lebih dari itu dia juga mungkin memiliki seekor kuda yang pantas lagi serba berkebolehan. Maka apabila dia bertanya mengenai solat qasar antara Mekah ke Arafah, Ibnu Abbas mengatakan tidak boleh kerana beliau sedia mengetahui akan kebiasaan jalan hidup yang bertanya itu. Maka Ibnu Abbas mencadangkan agar dia boleh mengqasar solat apabila menjalani jarak yang lebih jauh dari persekitaran Kota Mekah, iaitu ke Jeddah, Taif atau Usfan. Hadith Ibnu Abbas ini adalah khusus dalam satu suasana bagi seorang yang bertanya dan kita tidak boleh menjadikannya sebagai hujah mutlak bagi setiap umat Islam dalam setiap zaman dan keadaan.


[Kedua] - Sesetengah pendapat juga mensyaratkan bahawa tempoh masa yang membolehkan seseorang mengqasar solat-solatnya apabila singgah di destinasi ialah 3 hari. Pendapat ini didasarkan kepada sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Orang-orang muhajirin boleh mendiami Kota Mekah setelah ibadah hajinya hanya selama 3 hari. Hadith ini sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim, Kitab al-Hajj, hadith no: 1352-B.


Hadith ini diucapkan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sekembalinya semula ke Kota Mekah diakhir rangka ibadah hajinya. Beliau menasihati orang ramai yang berasal dari luar Kota Mekah bahawa mereka hanya boleh duduk di sana selama 3 hari setelah selesai ibadah haji mereka, kemudian pulanglah ke perkampungan asal masing-masing. Perawi hadith ini, al-Ala' bin Hadrami radiallahu-anhu menerangkan bahawa sabda beliau ini seolah-olah melarang mereka dari tinggal di Mekah melebihi 3 hari.[28] Berdasarkan hadith ini maka ada yang menukilkan hukum darinya bahawa tempoh seseorang itu boleh menginap atau bermukim di satu-satu tempat adalah 3 hari. Sesiapa yang lebih dari itu tidak lagi dikategorikan sebagai seorang musafir dan dia tidak lagi dibolehkan mengqasar solat-solatnya.


Dalam analisa penulis, nukilan hukum ini amat aneh sekali kerana beberapa sebab: Pertama - Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengaitkan langsung larangan 3 hari ini dengan kategori musafir mahupun syarat-syarat qasar. Yang pasti, tidak mungkin beliau lupa atau lalai terhadap tanggung-jawabnya. Kedua - Beliau memerintah larangan 3 hari dengan tujuan yang umum lagi luas terbuka sehingga boleh difahami dari berbagai sudut dan arah. Ketiga - Jika jelas qasar itu dilarang bagi orang yang bermukim melebihi 3 hari maka kenapa beliau sendiri serta para sahabat lainnya melakukan solat secara qasar melebihi tempoh tersebut? Keempat - Jikalau hadith ini hendak dijadikan dalil mutlak dalam menentukan tempoh mukim seseorang, kenapakah masih terdapat puluhan pendapat lain sepanjang zaman yang berbeza-beza mengenai tempoh mukim yang membolehkan solat di qasar? Justeru itu penukilan hukum mukim atau musafir seseorang berdasarkan hadith ini perlu dianalisa serta dikaji semula.

Antara fahaman yang boleh kita gali dari larangan 3 hari oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadith beliau ini ialah kerana di ketika itu orang ramai dari luar Kota Mekah yang turut menyertai beliau dalam ibadah hajinya (Haji Wada') tersangatlah besar jumlahnya sehingga mencapai puluhan ribu jumlahnya. Kiraan ahli sejarah memberikan jumlah antara 90,000 hingga 114, 000 orang dan apabila keseluruhan rombongan ini memulakan manasik haji mereka di Padang Arafah, jumlah mereka meningkat kepada 144,000 orang.[29] Maka dengan jumlah yang amat besar ini sudah tentu akan menjadikan Kota Mekah penuh sesak apabila mereka semua kembali ke sana setelah selesai rangka ibadah haji masing-masing. Justeru Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menasihati mereka supaya kembali ke perkampungan asal masing-masing setelah 3 hari supaya tidak memberat atau menyulitkan para penduduk asal Kota Mekah.


Sebenarnya penentuan batas atau tempoh musafir seseorang itu sememangnya telah membawa para ahli fiqh sepanjang zaman ke dalam perbincangan yang amat luas. Berbagai-bagai hujah dan dalil di kemukakan dan berbagai kaedah atau medium kiraan digunakan bagi menentukan tempoh masa seseorang itu dikira sebagai seorang musafir yang boleh mengqasarkan solat-solatnya. Antaranya ada yang berpendapat tidak boleh qasar di saat tiba di destinasi, ada yang berpendapat setelah sehari semalam, ada yang berpendapat 3 hari, ada yang berpendapat 4 hari, ada yang mengira hari masuk serta keluar dan yang tidak mengiranya, ada yang berpendapat 10 hari, ada yang berpendapat 15 hari, atau 18 hari atau 20 hari dan begitulah seterusnya. Ada juga yang mengira tempoh mukim dengan bilangan solat tidak lebih 21 kali. Selain itu ada yang mengatakan bahawa tempoh musafir seseorang bergantung kepada tujuan perjalanan. Jikalau kerana perang boleh sehingga bila-bila, jikalau kerana ibadah haji boleh untuk 10 hari dan jikalau selain itu hanya 3 hari. Ada juga yang menentukan tempoh musafir dengan tempoh kerja seseorang, jikalau dia tahu bila kerjanya akan selesai maka tempoh dibolehkan qasar ialah 3 hari dan jikalau dia tidak tahu bila akan selesai maka boleh qasar sehingga kerjanya selesai. Banyak lagi pendapat yang sedia ada dan jikalau hendak diterangkan satu persatu berserta hujah-hujahnya sudah tentu memakan puluhan mukasurat.

Malah Imam Shafie sendiri mempunyai 3 pendapat yang berbeza dalam hal ini[30], iaitu


1 - 3 hari, tidak boleh qasar setelah hari ke 4.
2 - 18 hari, tidak boleh qasar setelah hari ke 18.
3 - Tiada tempoh tertentu, boleh qasar solat selagi kerjanya belum selesai atau selagi belum kembali ke tempat asal.

Sebab timbulnya perbezaan yang sekian banyak ialah kerana wujud berbagai dalil yang berbeza-beza mengenai hal ini, samada dari as-Sunnah mahupun dari kalangan para sahabat radiallahu-anhu. Lebih dari itu para ahli fiqh di awal zaman tidak berkesempatan untuk bertemu dan mengkaji semua dalil-dalil yang sedia ada kerana faktor kesukaran zaman dan keadaan. Tidak dilupai juga wujudnya hadith-hadith yang daif dan maudhu' (palsu) yang sukar untuk ditapis pada awalnya.

Analisa, kajian serta penelitian oleh para ahli ilmuan pertengahan serta akhir zaman mendapati bahawa sebenarnya tidak ada dalil yang khusus lagi jelas bagi menentukan batas atau tempoh masa musafir seseorang itu. Himpunan dari pelbagai dalil serta penerangan para sahabat mendapati bahawa seseorang itu tetap dikira sebagai seorang musafir dari saat dia keluar dari perkampungan/pekan/bandar mastuatinnya sehinggalah dia kembali semula, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini. Dan inilah definasi musafir yang paling dekat dengan kebenaran, sebagaimana terang Imam Muhammad Ismail as-Sha'nani:


Sudah jelas tidak ada dalil yang menunjukkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengqasarkan solat selama masa qasar telah melebihi dari waktu-waktu yang disebut di atas. Apabila tidak ada dalil yang menunjukkan penentuan batas waktu, maka pendapat yang lebih mendekati kebenaran ialah boleh sentiasa mengqasar solat selama dalam perjalanan itu sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh para sahabat - kerana memang tidak dinamai mukim dalam keadaan ragu-ragu setiap hari dan juga tidak dinamai mukim bagi orang yang sedang dalam perjalanan yang hanya singgah di suatu tempat meskipun lama.[31]


Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie juga merumuskan: Tegasnya memandang seseorang menjadi mukim kerana dia berniat tinggal di tempat yang disinggahi atau didatangi sekian-sekian hari tidak ditunjukkan oleh nas agama, tidak ditunjukkan oleh bahasa dan tidak pula ditunjukkan oleh uruf.



Maka oleh kerana itu seseorang musafir yang singgah di satu tempat untuk menyelesaikan tugasnya lalu kemudian pergi, maka tetaplah dia mengqasarkan solatnya walaupun dia perlu tinggal ditempat itu lebih dari 20 hari. Demikian juga walau dikira sejak mula bahawa dia akan tinggal di tempat itu lebih dari 20 hari asalkan dia masih berkeadaan pergian dan tidak bermaksud menetap (mastautin) di situ.[32]


Sementara itu Shaikh Sayid Sabiq memberikan analisa yang lebih mendalam, dengan mengutip penjelasan Imam Ibnu Qayyim yang diterjemahkan sebagai berikut:


“Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bermukim di Tabuk selama 20 hari dan beliau terus mengqasarkan solat dan tidak pernah pula mengatakan kepada umatnya supaya tidak seorangpun dari mereka mengqasarkan solat bila bermukim lebih lama dari itu. Hanya secara kebetulan sahaja lama tempoh bermukim Nabi sallallahu-alaihi-wasallam adalah 20 hari di peristiwa itu (di Tabuk). Bermukim dalam waktu berpergian tidak dapat dianggap sudah keluar dari hukum musafir baik lama mahupun sebentar asal sahaja dia tidak bermaksud hendak menetap di sana sebagai penduduk (mastautin)


Miswar bin Makhramah berkata - Kami bermukim dengan Sa'ad radiallahu-anhu di salah satu desa di wilayah Syam selama 40 hari dan selama itu Sa'ad tetap mengqasarkan solat sementara kami menyempurnakannya. Berkata Nafi' - Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu bermukim di Azerbeijan selama 6 bulan dan tetap bersolat 2 raka'at qasar (kecuali Maghrib) kerana tertahan oleh iklim bersalji ketika memasuki kota tersebut. Hafash bin Ubaidillah mengatakan - Bahawa Anas bin Malik radiallahu-anhu bermukim di Syam selama 2 tahun dan terus bersolat sebagai seorang musafir (yakni mengqasarkan solat) dan menurut Anas, para sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah bermukim di Ramhurmuz selama 7 bulan dan tetap mengqasar solat. Sedang menurut Hasan, dia bermukim bersama Abdurrahman bin Samurah radiallahu-anhu di Kabul selama 2 tahun dan beliau terus mengqasar solat tanpa menjamak. Kemudian Ibrahim mengatakan bahawa para sahabat pernah bermukim di Rai selama 1 tahun atau lebih dan di Sajistan selama 2 tahun (dan mereka tetap mengqasarkan solat.)

Inilah petunjuk yang diberikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan dicontohi pula oleh para sahabatnya dan sememangnya itulah yang benar. Adapun pendapat setengah-setengah pihak, di antaranya ialah yang dikemukakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal - ialah bahawa jikalau seseorang berniat hendak bermukim selama 4 hari maka dia harus menyempurnakan solatnya (4 raka'at) dan jikalau kurang dari 4 hari maka dia boleh mengqasarnya. Berdasarkan hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan perbuatan para sahabat itu mereka tafsirkan bahawa baik Nabi mahupun para sahabat tidak bermaksud akan bermukim tetapi mereka selalu mengatakan - "Hari ini atau hari esok kita akan pergi." (yakni tidak pasti bila akan berangkat pulang-P).

Tetapi dalam tafsiran sebegini terdapat satu hal yang harus menjadi perhatian, iaitu bahawa di ketika Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam membebaskan Kota Mekah (Fath-ul-Mekah), suatu kota yang telah sedia dimaklumi keadaannya - dan beliau bermukim di sana adalah dengan tujuan hendak mengukuhkan asas-asas keislaman serta menghancurkan sendi-sendi kemusyrikkan dan mepersiapkan segala sesuatu bagi umat Arab sekeliling. Pekerjaan seberat itu tentulah memerlukan tempoh berhari-hari dan tidak cukup hanya sehari-dua. Demikian juga di ekspedisi Tabuk, untuk menunggu kedatangan musuh - kerana antara Tabuk dan tempat kediaman musuh jaraknya bermil-mil. (1 mil=2.88km). Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tentu maklum bahawa untuk dua pekerjaan tersebut, yakni Fath-ul-Mekah dan ekspedisi Tabuk, tentu tidak cukup tempoh 4 hari sahaja. Demikian juga ketika Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu bermukim di Azerbeijan selama 6 bulan lalu tetap mengqasarkan solat kerana terperangkap di musim salji yang berat, pasti diketahui bahawa salji itu tidak akan cair hingga jalan kembali terbuka di dalam tempoh 4 hari. Demikian juga bagi Anas bin Malik yang bermukim di Syam selama 2 tahun dan para sahabat lain yang bermukim di Ramhurmuz selama 7 bulan dengan tetap mengqasarkan solat, tentulah mereka mengerti bahawa mengepung musuh dan berperang itu tidak cukup dalam tempoh 4 hari sahaja.

Sahabat-sahabat Imam Ahmad juga mengatakan kalau bermukim untuk berjihad atau kerana dipenjarakan oleh pihak penguasa atau sebab sakit, maka dibolehkan mengqasar solat baik bermukim itu menurut kiraan akan berlaku lama mahupun sebentar. Ini memang satu pendapat yang benar tetapi anehnya mereka mengemukakan pula suatu syarat yang sama sekali tidak berasal dari Kitabullah (al-Qur'an), dari as-Sunnah atau Ijma' dan tidak pula dari perbuatan salah seorang sahabat sekalipun. Hujah mereka ialah bahawa dalam tafsiran itu hendaklah ada kemungkinan bahawa urusan itu akan dapat selesai dalam tempoh yang tidak dapat menghapuskan hukum musafir - yakni dalam masa yang kurang dari 4 hari.

Sekarang baiklah kita ajukan satu pertanyaan kepada mereka - Dari manakah tuan-tuan perolehi syarat tersebut padahal Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sendiri ketika beliau bermukim lebih dari 4 hari lalu tetap mengqasarkan solat, baik di Mekah atau di Tabuk? Nabi tidak pernah ada mengatakan suatu syarat apapun dan tidak pula menerangkan bahwa beliau tidak bermaksud akan bermukim lebih dari 4 hari padahal beliau sedia mengetahui bahawa perbuatannya akan menjadi contoh dan teladan bagi sekalian umat sepanjang zaman dan mereka juga akan turut mengqasar di ketika bermukim nanti. Ternyata tidak sepatah katapun dari sabda beliau yang ada melarang solat diqasar bila bermukim lebih dari 4 hari padahal penjelasan mengenai ini amat penting sekali. Begitu juga halnya dengan perbuatan para sahabat radiallahu-anhu yang mengikuti teladan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam - tidak pula mereka mengatakan suatu syarat apapun kepada para tabien yang turut mengqasar solat bersama mereka.

Dalam hal ini Imam Ibnu Mundzir mengatakan bahawa berdasarkan penyelidikannya para ahli telah sepakat bahawa seorang musafir (yang bermukim) itu tetap dibolehkan mengqasar solat selama dia tidak bermaksud akan terus menetap/mastautin di sana sekalipun mukimnya itu berlangsung selama tempoh bertahun-tahun.[33]



Kesimpulan


1 - Seseorang yang melakukan satu perjalanan yang melebihi batas kebiasaannya dibolehkan mengqasarkan solat-solat Zohor, Asar dan Isyaknya.

2 - Solat qasar hanya disyaratkan oleh suasana musafir, tidak kira samada musafir tersebut melibatkan kesukaran atau tidak.

3 - Apabila seseorang singgah di satu tempat atau tiba di destinasi, dia tetap dibolehkan mengqasar solat-solatnya tanpa had masa atau tempoh selagi dia tidak bercadang untuk menetap di sana atau bermastautin.

4. Qasar adalah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang tetap beliau praktikkan apabila sahaja dalam perjalanan. Oleh itu amat dianjurkan agar kita sebagai umatnya juga turut meneladani sunnah yang mulia ini. Manakala sebahagian ulama menyatakan bahawa meng-qasarkan solat fardhu adalah merupakan suatu yang dituntut/wajib apabila berada dalam keadaan musafir.


Footnote/Rujukan



[1]Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1156.

[2]Imam Ibnu Taimiyah - Majmoo al-Fatawa, 22/291, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/259, Shaikh Muhammad Abduh dan Rashid Risda - Tafsir al-Manar, surah ke-4, ayat 101, Prof. Hamka - Tafsir al-Azhar, 2/1389 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/369, Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/214.

[3]Maksud atsar sahabat dari Sahih Bukhari - no: 1009.

[4]Maksud atsar sahabat riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1191.

[5]Maksud atsar sahabat dari Sunan Ibnu Majah - no: 1063.

[6]Maksud atsar sahabat dari Sunan an-Nasai - no: 1413.

[7]Maksud atsar sahabat riwayat Imam Tirmizi dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1183. Imam Tirmizi mengatakan hadith ini berstatus hasan sahih manakala menurut Imam Abu Daud hadith ini adalah lemah. [Sunan Abu Daud, 2/136]. Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani hadith ini sememangnya mempunyai seorang perawi yang daif tetapi Imam Tirmizi menguatkannya kerana maksud hadith tersebut selari dengan banyak hadith-hadith yang sejalan tetapi sahih. Demikian terang Ibnu Hajar yang dipersetujui oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 4/489.

Fath-ul-Mekah ialah ekspedisi umat Islam untuk mengambil-alih semula Kota Mekah dari tangan kekuasaan kaum kafir Quraish. Perkataan Fath bermaksud Pembukaan kerana adalah setiap ekspedisi ketenteraan umat Islam bukan bertujuan menakluk sesebuah negara atau masyarakat tetapi bertujuan membuka serta membebaskan mereka dari pengaruh Jahiliyah serta kekafiran.

[8Imam Ibnu Taimiyah - Majoo al-Fatawa, 22/250 dan seterusnya, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/276, Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/349, Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/214, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/344, Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 3/477-482, Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/159-163. Bagi analisa perbandingan lihat: Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/190, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 35-45, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/341-343.

Sementara itu terdapat sebuah riwayat yang palsu/maudhu' bahawa kononnya beliau ada bersabda: Hai penduduk Mekah ! Janganlah kamu mengqasarkan solat pada jarak kurang dari 4 barid, iaitu umpama perjalanan dari Mekah ke Usfan.( 4 barid = 89 km ). Hadith ini dinyatakan palsu kerana dalam barisan perawinya terdapat Abdul Wahab bin Mujahid dan dia dinyatakan sebagai pendusta oleh Imam al-Hakim, Sufyan at-Tsauri dan Ibnu Jawzi. [ Drs. Abdul Ghani Azmi Idris - Himpunan Hadith Daif dan Maudhu' - F-49].

[9]Disalin dari Silsalah al-Ahadith as-Sahihah, 1/367 oleh Shaikh Nasiiruddin al-Albani.

[10]Maksud atsar sahabat dari Sunan Ibnu Majah - no: 1067.

[11]Bahan rujukan adalah sama seperti perbincangan Jarak Perjalanan.

[12]Pengajaran hadith dari Anas bin Malik radiallahu-anhu diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi - Sunan al-Kubra, 3/152 dan dinyatakan ia sebagai Sahih.

[13]Selain dari Majoo al-Fatawa Ibnu Taimiyah dan al-Mughni ibnu Qudamah dalam bab ini; lihat juga - Shaikh Muhammad Salih al-Othaimeen dan Shaikh Abdullah Abdul Rahman al-Jibreen - Fatawa on Fasting, Zakat and Traweeh, pg 20, 47 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/379 ; Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/169 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/217-220. Bagi analisa perbandingan lihat Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/482-491 ; Imam an-Nawawi - al-Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 4/215-219 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/358-365 ; Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/353.

[14]Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/370.

[15]Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/216, Shaikh Ali an-Thantawi - al-Fatawa, ms 258.

[16]Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/265.

[17]Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/346.

[18]Lihat mana-mana kitab fiqh muktabar bagi menganalisa dalil, hujah serta pendapat pihak yang menyatakan solat qasar itu adalah wajib dalam setiap musafir.

[19]Demikian pengkajian hadith oleh Imam Ibnu Qayyim - Zaad-ul-Ma'ad, 1/399 dan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami - Majma az-Zawa'id, 2/157. Hadith ini dirawikan melalui 3 jalur dan semuanya adalah daif serta bertentangan pula dengan riwayat-riwayat lain yang sahih, yang menyatakan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sentiasa mengqasarkan solatnya apabila dalam perjalanan. Telah berkata Imam Ahmad bahawa hadith ini diingkari dan kesahihannya pula tersangat jauh (iaitu sangat tidak sahih = sangat daif) [Nail-ul-Authar, 4/474].

Selain itu tertulis pula riwayat lain yang bermaksud: A'isyah radiallahu-anha berkata - Aku pernah keluar bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dalam umrah pada bulan Ramadhan. Kemudian (dalam perjalanan) aku berbuka dan kadang-kala berpuasa,mengqasar dan kadang-kala menyempurnakan. Lalu aku bertanya (kepada Nabi) - Demi ayah dan ibuku ! Aku berbuka dan kadang berpuasa, aku mengqasar dan kadang menyempurnakan. Maka beliau berkata - Itu baik wahai A'isyah. Hadith diriwayatkan oleh Imam ad-Daruquthni dan didaifkan oleh Imam Ibnu Hibban, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar Asqalani, Ibnu an-Nahwy dan ramai lain. Hadith ini juga diingkari maksudnya kerana A'isyah tidak pernah berumrah bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pada bulan Ramadhan. Sesetengah kitab fiqh mengutarakan hadith ini sebagai hujah dengan mengatakan ia disahihkan oleh Imam ad-Daruquthni tetapi yang benar beliau (Daruquthni) sendiri berbeza pendapat tentang status kekuatannya. [Nail-ul-Authar, 4/470-472]

[20]Maksud atsar sahabat dari Musnad Ahmad, 1/216.

[21]Maksud hadith riwayat Imam Tirmizi dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1183.

[22]Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/356-357, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 62-67.

[23]Bagi analisa perbandingan lihat: Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/369 dan Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/353.

[24]Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/481, Drs. Abdul Ghani Azmi Idris - Himpunan Hadith Daif dan Maudhu' - F-49.


[25]Lihat mana-mana kitab usul fiqh dalam bab - Mazhab Sahabii atau Fatwa Sahabii; antara lain ialah Imam asy-Shaukani - Irsyadul Fuhul, ms 214 ; Prof. Dr. M. Abu Zahrah - Usul Fiqh, ms 328-336 ; Prof. Dr. M. Hashim Kamal - Principles of Islamic Jurisprudence, pg 297-309 dan Prof. Dr. Mukhtar Yahya dan Fatchurrahman - Dasar-dasar pembinaan Hukum Fiqh Islami, ms 116-118.



[26]Imam Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/480 dan Shaikh Nasiiruddin Albani - Silisilah Ahadith as-Sahihah, 1365.



[27]Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al-Bayan - hadith no: 0385. Lihat juga hadith-hadith lain dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim di bawah tajuk Kitab al-Hajj.



[28]Atsar sahabat dari Sahih Muslim - hadith no: 1352.



[29]Muhammad Husein Haykal - The Life of Muhammad, pg 483, Dr. Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri - ar-Raheeq al-Makhtum, ms 463.



[30]Imam al-Muzani, seorang anak murid kepada Imam Shafie sendiri; dalam kitabnya Muhktasar al-Muzani Bihamish al-Umm, vol 1, ms 120-131. Pendapat ketiga Imam Shafie disahihkan oleh Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/490 dan Imam as-Shanani - Subul-us-Salam, 2/168.



[31]Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/169.



[32]Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/379.



[33]Ringkasan dari tulisan Shaikh Sayid Sabiq terhadap penerangan Imam Ibnu Qayyim dalam Fiqh-us-Sunnah, 2/217-220.



Al-Imam Ibnu Qayyim adalah salah seorang Imam Mujtahid kurun ke 8H yang banyak menganalisa pendapat serta pegangan Imam Ahmad bin Hanbal dan tokoh-tokoh-tokoh dalam mazhab Hanbali.

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

No comments: